Thursday, May 22, 2008

MEMARTABATKAN BIDANG PENDIDIKAN YANG BERTERASKAN KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN PERFILEMAN DIKALANGAN PELAJAR MELAYU

Kebudayaan dan kesenian bangsa Melayu merupakan salah satu elemen yang penting didalam memperkasakan budaya bangsa Melayu. Ini bersesuaian dengan salah satu objektif penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) iaitu untuk menjaga dan memartabatkan kesucian Agama Islam , kebudayaan dan kesenian Melayu.

Elemen – elemen kebudayaan dan keagamaan adalah bertujuan untuk mendedahkan serta menambahkan norma-norma murni dalam membentuk jati diri bangsa Melayu yang tulen. Ini akan meluaskan pengetahuan pelajar mengenai kewujudan khazanah warisan kesenian dan budaya Melayu. Pada masa yang sama ia merupakan isu perbincangan yang paling ideal dan menggalakkan kesepaduan dan kerjasama diantara satu sama lain. Para pelajar dapat bertukar-tukar pendapat dan akhirnya akan dapat membuat kesimpulan mengenai warisan seni dan sejarah Melayu yang masih kekal di negara ini.

Memartabatkan khazanah warisan bangsa untuk ditatap dan dihayati bukan suatu perkara yang mudah khususnya untuk generasi muda hari ini. Ternyata usaha gemblengan tenaga dan daripada pelbagai pihak termasuk GPMS supaya generasi kini dan terdahulu tidak lupa kepada warisan Melayu yang utuh pada identiti bangsa Melayu.

Selain daripada itu, kini kebudayan dan kesenian merupakan salah satu bidang pendidikan yang harus diberi perhatian memandangkan ianya mampu meningkatkan mutu pendidikan anak-anak Melayu. Sebagai contoh, Universiti Teknologi Mara telah memperkenalkan jurusan-jurusan yang berkenaan kesenian dan perfileman melalui Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik yang kini berada di Kampus Satelit UiTM Puncak Perdana. Ini sedikit sebanyak akan mengubah pemikiran lapuk dan negatif masyarakat Melayu terhadap bidang-bidang ini.

Untuk pengetahuan semua perwakilan dan pemerhati, bidang – bidang pendidikan yang berteraskan kepada elemen kebudayaan , kesenian dan perfileman adalah mampu untuk memperkasakan bidang pendidikan dikalangan Pelajar-pelajar Melayu. Ini kerana bidang ini merupakan salah satu bidang profesional yang jarang di ambil berat oleh pihak-pihak lain. Melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, bidang-bidang ini telah dipertingkatkan dari segi nilai profesional supaya ianya akan diberi perhatian oleh seluruh Masyarakat di Malaysia terutama bangsa Melayu.

Demi untuk meningkatkan pendidikan pelajar Melayu selepas Sijil Pelajaran Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung haruslah memainkan peranan penting untuk memperkenalkan program-program diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang berkaitan dengan Kebudayaan, Kesenian dan perfileman kepada para pelajar. Ini kerana seringkali dilihat, bahawa kita terlalu mementingkan bidang teknologi Sains dan Kejuruteraan kepada para pelajar melayu. Harus difahami bahawa tidak semua para pelajar Melayu mampu untuk meneruskan pengajian di dalam bidang-bidang seperti perniagaan, perubatan, kejuruteraan dan lain-lain.

Justeru itu, GPMS Cawangan Bukit Mertajam amat berharap kepada pihak kerajaan untuk berfikir secara matang betapa pentingnya bidang-bidang pendidikan yang berteraskan kepada bidang kebudayaan, kesenian dan Perfileman mampu mencorakkan minda para pelajar Melayu dalam memperkukuhkan moraliti identiti bangsa Melayu dan seterusnya meningkatkan ekonomi industri perfileman dan kebudayaan di Malaysia.

KEPENTINGAN MUZIUM

Muzium merupakan salah satu daya tarikan yang mempunyai keunikannya tersendiri. Bangsa, agama, budaya, maruah, semangat dan sebagainya adalah intipati pengisian setiap muzium. Namun peranan muzium ini sering dipandang sepi. Muzium menjadi pilihan yang terakhir bagi senarai lawatan ketika cuti sekolah atau cuti umum.

Untuk pengetahuan semua, memartabatkan khazanah warisan bangsa seperti kepentingan muzium untuk ditatap dan dihayati bukan suatu perkara yang mudah khususnya untuk generasi muda hari ini. Ternyata usaha gemblengan tenaga dan daripada pelbagai pihak termasuk GPMS supaya generasi kini dan terdahulu tidak lupa kepada warisan Melayu yang utuh pada identiti bangsa Melayu sering dilaksanakan dengan penuh kesungguhan.

Untuk memeriahkan khazanah warisan muzium , GPMS Cawangan Bukit Mertajam telah mengambil inisiatif untuk merancang mengadakan program “Apresiasi Kembara Seni Warisan Muzium “ . Program ini akan menampung segala macam aktiviti kesenian dan kebudayaan dari masa ke semasa untuk dijadikan Penerbitan kepada Majalah Kembara Seni Warisan Muzium dalam bentuk visual untuk dihidangkan kepada khalayak untuk ditatap agar hasil usaha ini mampu menjadi medan interaksi untuk bertukar-tukar fikiran , pengalaman dan pengetahuan dalam membina satu angkatan kesenian , sejarah dan warisan kebudayaan Melayu yang padu dalam proses pengembangan seni tradisi dan budaya. Ianya juga sesuai untuk dijadikan bahan pengajaran dan pengetahuan kepada para pelajar di sekolah dan golongan siswa siswi di institusi pengajian tinggi

Justeru, penerbitan Majalah Kembara Seni Warisan Muzium diharap dapat memberi maklumat dan pengetahuan kepada khalayak mengenai kewujudan dan pengisian muzium-muzium di Malaysia. Apa yang pasti, setiap muzim mempunyai identiti atau rahsianya yang tersendiri.

PERPADUAN BANGSA MELAYU

Diera zaman yang serba moden ini, banyak cabaran yang perlu hadapi oleh bangsa Melayu. Bangsa Melayu harus menoleh kebelakang untuk melihat perubahan yang pesat sekali dalam semua aspek kehidupan manusia dari zaman awal ketamadunan manusia hingga ke hari ini. Bangsa Melayu juga tidak ketinggalan , turut berubah daripada budaya lama kepada budaya baru. Bangsa Melayu yang pernah terjajah lebih daripada 400 tahun dari zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah kemerdekaan dicapai pada tahun 1957.

Bangsa Melayu yang dulunya pernah dijajah oleh bangsa Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan Siam , hari ini telah muncul sebagai satu bangsa yang maju dan hampir setanding dengan bangsa yang pernah menjajah mereka. Bahkan, kini Bangsa Melayu di Malaysia telah muncul sebagai satu bangsa yang amat disegani terutama di kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia.

Kejayaan bangsa Melayu hari ini adalah hasil perjuangan bangsanya sebelum ini. Kejayaan ini tidak akan akan berkekalan sekiranya generasi baru pada zaman serba moden ini tidak didedahkan kepada sejarah dan semangat patriotisme dalam mempertahankan kemerdekaan yang dicapai. Sejarah perjuangan bangsa Melayu hari ini adalah amat perlu untuk diketahui dan disampaikan kepada generasi anak-anak Melayu hari ini kerana ianya akan menjadi satu panduan dan kayu pengukur untuk menilai pencapaian anak Bangsa Melayu pada hari ini.




Dengan mengetahui dan meneliti perkembangan sejarah silam Bangsa Melayu, generasi bangsa Melayu pada hari ini dan generasi pada masa hadapan akan dapat mengesan apakah nilai-nilai murni yang diutamakan oleh generasi sebelumnya dalam menjayakan cita-cita dan hasrat perjuangan bangsa Melayu yang dinikmati oleh umat Melayu pada hari ini.

Walaubagaimanapun , hari ini boleh dikatakan hampir wujud satu sikap iaitu alpa di dalam masyarakat bangsa Melayu terhadap sejarah perjuangan bangsa Melayu pada zaman sebelum kemerdekaan. Sikap kealpaan ini boleh mengundang masalah besar kepada pucuk pimpinan negara. Bangsa Melayu akan semakin kehilangan punca apabila negara atau bangsa Melayu menghadapi masalah-masalah berkaitan sosio-politik yang memerlukan bangsa Melayu membuat keputusan. Biasanya orang Melayu akan membuat keputusan berdasarkan isu-isu semasa yang dilihat menjadi sokongan massa.

Oleh itu, boleh dikatakan generasi yang akan datang datang dapat meneruskan perjuangan bangsanya dalam mempertahankan kejayaan yang telah dicapai bagi memastikan kelangsungan perjuangan bangsanya yang terdahulu dengan lebih cemerlang selari dengan perkembangan dan tuntutan semasa bangsanya. Generasi muda khususnya yang terdiri daripada bangsa Melayu haruslah menoleh ke belakang untuk melihat sejauh manakah perjuangan pemimpin negara pada masa yang lalu dalam usaha cuba memajukan negara. Hal ini harus menjadi panduan dan ikhtibar kepada semua anak bangsa Melayu supaya berusaha secara gigih untuk memajukan diri, masyarakat seterusnya negara Malaysia.