Friday, May 23, 2008

PENGUASAAN SAINS DAN TEKNOLOGI SUATU KEFARDHUAN

Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dan hidayah kepada manusia serta membawa rahmat bagi seluruh alam. Allah s.w.t, menjadikan langit, bumi dan di antara keduanya untuk kemudahan manusia menjalani kehidupan di samping untuk beribadat kepada-Nya. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 32:

Maksudnya : Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan ia memberi kemudahan bagi kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu ( mengambil manfaat darinya )

Dalam masa yang sama juga, Allah s.w.t, menyeru agar manusia mengkaji, meneroka dan menyelidik rahsia alam ciptaan-Nya secara sistematik. Sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ghasiyyah ayat 17 – 20 :


Maksudnya : “ ( mengapa mereka yang kafir masih mengingkari ), tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan?. Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya ?. Dan keadaan gunung ganang bagaimana ia ditegakkan?. Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan ?.

Berdasarkan ayat tersebut sememangnya menjadi tugas dan tanggungjawab manusia mengkaji rahsia alam ciptaan Allah selaras dengan matlamat-Nya menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Allah s.w.t, juga telah memuliakan golongan mukmin yang suka mengkaji ciptaan-Nya dengan menggelarkan mereka sebagai ulul albab.

Jika kita meneliti isi kandungan al-Quran, kita dapati bilangan ayat-ayat yang membicarakan tentang sains dan teknologi melebihi 750 ayat, manakala ayat-ayat yang berkaitan hukum hakam tidak melebihi 150 ayat. Tetapi alangkah ruginya umat Islam di akhir zaman ini kerana mereka tidak lagi mengambil berat tentang kepentingan menguasai sains dan teknologi. Di mana silapnya ?.

Sedangkan para ulamak Islam terawal mereka merupakan tokoh-tokoh terbilang dalam menguasai ilmu sains dan teknologi. Contohnya nama-nama seperti al-Asma’i, al-Jahiz dan al-Jawaqili merupakan pakar dalam bidang Zoologi dan Biologi. Manakala dalam bidang Botani pula dipelopori oleh al-Nabati, seterusnya dalam bidang Mineralogi tokohnya ialah Muhammad Zakaria al-Razi, bidang Kimia pula tokohnya Khalid ibnu Yazid dan Jabir ibnu Haiyan serta dalam bidang kejuruteraan dan teknologi tokohnya seperti ibnu Musa, Ibnu al-Razaz al-Jazari, Taqiyuddin dan lain-lain.

Tetapi malangnya, apa yang berlaku kepada umat Islam masa kini mereka ketinggalan jauh dalam semua bidang keilmuan, tidak berkemampuan dalam penguasaan kepakaran teknologi, sebaliknya umat Islam dijajah, ditindas, dihina malah dilabel sebagai pengganas dan pelbagai tohmahan negatif.

Justeru, selaku sebuah negara merdeka marilah kita mendidik serta melatih generasi muda agar menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuklah kepakaran dalam bidang sains dan teknologi kerana kita tidak mahu semata-mata bergantung kepada kuasa asing yang sudah tentu mempunyai agenda dan kepentingan tersendiri seperti menjajah pemikiran umat Islam dan lain-lain. Hal ini sesuai dengan kata-kata pujangga muslim :

اَلْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُوْءمِنُ فَأِيْنَمَا وَجَدْتَهَا فَخَذْهَا
Maksudnya : Kebijaksanaan ( hikmah ) itu, adalah barang kehilangan kaum muslim. Justeru di mana sahaja kamu jumpa berusahalah mengambilnya kembali.

Sehubungan dengan itu, marilah sama-sama kita melihat al-Quran dari sudut ilmu sains iaitu satu bidang ilmu yang sangat penting untuk kejayaan manusia di dunia dan di akhirat. Perlu diingatkan di sini bahawa negara-negara maju seperti Jerman, Perancis, Amerika, Jepun, China, Rusia dan sebagainya, mempunyai saintis yang ramai. Mereka ini berperanan membuat pelbagai kajian dan penyelidikan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat umum.

Justeru, sekiranya kita mahu masyarakat khususnya umat Islam menjadi maju, maka kita perlulah melipat gandakan usaha untuk menambahkan lagi bilangan para saintis di negara ini. Oleh itu, GPMS CAWANGAN BUKIT MERTAJAM menyeru kaum muslimin khususnya ibubapa mengambil berat dengan memberi kefahaman dan memupuk minat anak-anak mempelajari ilmu sains dan teknologi kerana mereka adalah aset negara di masa hadapan. Ini adalah selaras dengan gesaan Allah s.w.t, dalam surah al – Ankabut ayat 20 :

Maksudnya : Katakanlah : Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya, kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baru. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Pada masa ini kerajaan amat menekankan soal pembangunan modal insan supaya rakyat negara kita memiliki minda kelas pertama serta berdaya saing di peringkat global. Ini bertepatan dengan prinsip ke 4 Islam Hadhari iaitu Penguasaan Ilmu Pengetahuan. Bagi merealisasikan hasrat tersebut kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk menyediakan prasarana pendidikan berupa Universiti-Universiti dan PUSAT PENYELIDIKAN. dengan kelengkapan secukupnya. Di samping itu, kerajaan telah menubuhkan Pusat Sains, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), serta mengadakan kempen-kempen ke arah memupuk minat generasi muda mencintai sains dan teknologi. Oleh itu, janganlah kita mensia-siakan kemudahan dan peluang keemasan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan.

Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa sains dan teknologi amat diperlukan untuk maju dalam kehidupan pada masa kini dan akan datang. Bangsa Melayu khususnya umat Islam perlu mengubah cara berfikir terhadap konsep ilmu sains dan teknologi kerana ia adalah salah satu cabang ilmu dalam Islam. Menguasainya merupakan satu kefardhuan kerana ia dilihat berfungsi sebagai alat yang mampu berperanan memelihara Maqasid Syariah.


Menyedari kepentingan penguasaan sains dan teknologi dalam kehidupan masa kini, maka dapatlah kita rumuskan perkara yang penting pada hari ini seperti berikut :

1. Penguasaan terhadap ilmu sains dan teknologi adalah suatu kefardhuan bagi umat Islam supaya umat Islam menjadi umat contoh dan teladan serta pemimpin kepada umat lain di dunia.

2. Kita hendaklah menguasai ilmu sains dan teknologi kerana asalnya ia adalah harta intelek umat Islam yang perlu dimiliki dan diambil kembali.

3. Penguasaan terhadap ilmu sains dan teknologi akan menjadikan kita lebih mengagongkan Allah serta meningkatkan pengabdian kepada-Nya.

4. Penguasaan terhadap ilmu sains dan teknologi juga dapat menjadikan kita bangsa yang bermaruah, dihormati, mampu berdikari dan berdaya saing dalam semua bidang.

5. Sains dan teknologi berperanan sebagai pemudah cara kepada sebarang aktiviti dan kegiatan hidup serta penyelesai kepada sebarang permasalahan dari semasa ke semasa.

اعوذ بالله من الشيطان الرجيم،


Maksudnya : " sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan sing ada tanda-tanda ( kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah ) bagi orang-orang yang berakal ".
( Surah ali-Imran ayat : 190 )

TABIAT BAIK MEMBANTU KE ARAH KECEMERLANGAN

MEMBACA buku pada masa lapang merupakan tabiat yang baik. Tabiat bermakna kita mengamalkan sesuatu perkara mengikut kebiasaan. Tabiat yang baik bermakna kita bertertib dengan disiplin ketika melakukan aktiviti seharian.

Tabiat adalah bagaimana cara seseorang itu berfikir, bertindak dan bertindak balas dengan sesuatu kejadian.

Pelajar yang cemerlang perlu mempunyai tabiat yang baik. Kecemerlangan lahir daripada asuhan, keinginan dam keperluan untuk mencapai sesuatu yang baik.

Cuba fikirkan sama ada anda mempunyai tabiat berikut dalam kehidupan sehari-hari:

1. Membaca buku sebelum tidur.

2. Bertanya di dalam kelas jika tidak faham.

3. Menoleh ke belakang setiap kali membuka pintu.

4. Mengemaskan keperluan ke kelas sebelum waktu tidur.

5. Mendengar dengan tekun apabila berbual dengan rakan.

6. Melemparkan senyuman apabila berselisih dengan orang.

Tabiat di atas merupakan senarai ringkas daripada pelbagai tabiat yang boleh diikuti oleh pelajar.

Ia bukan perkara yang sukar atau mustahil untuk dilakukan. Tabiat yang baik akan membantu anda untuk mendapatkan kecemerlangan.

Pelajar yang bersikap proaktif seperti suka bertanya di dalam kelas, berbincang dengan guru dan rakan, akan lebih mempunyai tabiat suka bersendirian.

Orang yang bersikap proaktif tidak terpengaruh dengan faktor luaran.

Di samping bertanggungjawab kepada diri sendiri, mereka akan cuba mengatasi masalah mereka.

Pelajar yang bersikap inovatif selalunya mempunyai tabiat penggerak atau pemula dalam diri mereka.

Mereka gemar melakukan perkara yang belum dilakukan oleh orang lain dan bangga menjadi pemenang.

Keinginan seperti ini lahir daripada tabiat inginkan kelebihan daripada orang lain.

Adakah anda orang pertama melakukan perkara-perkara berikut di dalam kelas:

1. Menyiapkan tugasan atau latihan.

2. bersetuju untuk menjadi ketua atau pengawas.

3. Menawarkan diri untuk sebarang persembahan.

4. Mengangkat tangan apabila guru bertanya soalan.

.

PENGGUNAAN MASA

Pelajar juga merungut tentang masa. Mungkinkah anda pernah menyebut atau merungut dengan perkara-perkara berikut:

1. "Saya dapat soalan tersebut, tetapi masa tak cukup."

2. "kalaulah ada masa, tentu saya dapat habiskan buku tersebut."

3. "Exam dah dekat ni... tak bolehlah tengok siaran langsung bola sepak."

Tidak ada sesiapa yang dapat mengubah masa mengikut keperluan hidupnya.

Masa yang sudah berlalu tidak akan dikembalikan. Sifat masa yang paling penting yang perlu diketahui oleh pelajar ialah:

"Masa tidak perlu dibayar - setiap orang mempunyai 24 jam sehari semalam dan terpulanglah kepada anda untuk menggunakan masa tersebut."

Panduan membahagikan masa

Terdapat banyak kriteria membahagikan masa. Setiap orang mempunyai kaedahnya yang tersendiri. Sebagai pelajar, anda boleh mengikut kriteria di bawah sebagai panduan umum:

1. Lakukan perkara yang mudah dahulu - dala peperiksaan, misalnya, anda perlu bermula dengan soalan yang paling mudah diselesaikan.

2. Lakukan perkara yang lebih cepat untuk disiapkan berbanding dengan yang mengambil masa.

3. lakukan perkara yang perlukan tindakan segera berbanding dengan yang kurang penting.

4. Lakukan perkara yang mempunyai sumber terlebih dahulu.

5. Lakukan perkara yang sudah dirancang berbanding dengan yang tidak dirancang.

6. Lakukan perkara yang kita tahu sebelum perkara perkara yang kita tidak tahu.

7. Lihatlah siapa yang memerlukan tindakan kita.

[ Utusan Malaysia ,17 Disember 2006]

10 PETUA DALAM MENGHADAPI PEPERIKSAAN

REMAJA terutama pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pasti berdebar-debar menunggu tarikh penentu.

Justeru, Pakar Motivasi dan Pemilik MAP Training & Consultancy Sdn Bhd, Dr Tengku Asmadi Tengku Ahmad, memberi panduan apa yang perlu dilakukan bagi mengelak kekusutan di saat akhir.

1. Jangan panik

Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa 50 peratus apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri anda boleh menjawabnya.

2. Kajian terhadap topik dan pemetaan maklumat

Semak sama ada anda memahami sepenuhnya, separuh atau tidak memahami langsung bab berkenaan. Jika ada bab yang belum difahami sepenuhnya, segera buat peta minda dengan mencatat maklumat penting yang berkaitan.

3. Semak soalan tahun lalu (setiap subjek)

Biarpun soalan akan berubah setiap tahun, anda tetap perlu menyemaknya untuk membandingkan kekerapan topik berkenaan keluar dalam setiap peperiksaan.

4. Banyakkan pembelajaran secara output learning

Di saat-saat akhir, anda seharusnya banyak mengulang kaji pelajaran secara output learning iaitu mengeluarkan kembali kefahaman anda kepada bentuk lakaran ataupun menerangkan kepada rakan. Ia dapat membantu menguatkan ingatan terhadap sesuatu mata pelajaran.

5. Memperbanyakkan latih tubi dan ujian simulasi

Satu cara untuk menguji sejauh mana pemahaman anda terhadap sesuatu subjek adalah melalui latihan berterusan (latih tubi) dan soalan tahun sebelumnya. Ia mampu menolong anda mengatasi bahagian subjek yang lemah.

6. Nota ringkas

Nota ringkas amat penting dan berguna kerana ia senang dibawa ke mana saja. Anda boleh membaca catatan nota ringkas berkenaan di waktu terluang.

7. Pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya

Biar sesibuk mana sekalipun, anda perlu mendapat tidur dan rehat cukup. Jangan lupa bersenam sekurang-kurangnya 10 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas.

8. Pemakanan berkhasiat dan seimbang

Elak mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein kerana anda mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan.

9. Kawal emosi

Elak terbabit dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi di saat anda akan menduduki peperiksaan. Jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika menjawab soalan kelak.

10. Banyakkan berdoa dan bersolat

Sebagai makhluk yang lemah, kita memang tidak dapat lari daripada berdoa kepada Allah s.w.t. Bagi yang beragama Islam, anda perlu memper banyakkan solat hajat, tahajud dan berdoa memohon bantuan-Nya. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan guru.

TEKNIK BELAJAR BERKESAN

TEKNIK BELAJAR BERKESAN


Pengenalan


Bagi mereka yang telah berjaya dengan cemerlang,beberpa pendekatan belajar telah diamalkan. Para pengkaji teknik belajar telah juga menghasilkan beberapa pendekatan pembelajaran yang berkesan.


Terpulang kepada kita sebagai pelajar untuk mengikuti teknik mana yang paling sesuai dan paling mudah difahami. Untuk membantu pelajar di sini terdapat beberapa teknik belajar akan diutarakan.


Teknik Belajar 5R-STUV

1. Recopy [salin semula]
2. Rework all model 5 x [buat semula contoh/cepat/5x]
3. Recite out loud Repeatedly [lafaz kuat berulang kali]
4. Recheck [semak semula]
5. Reasonnablenes [jawapan berpatutan/sebaliknya]



1. s-sumarize [ringkaskan nota penting]
2. t-test your self [uji diri anda]
3. u-use [gunakan]
4. V-visualize [bayangkan selalu]


Teknik Belajar Secara Pembayangan

Kita mempunyai apa yang dinamakan otak kanan dan otak kiri. Otak kiri melibatkan pemikiran bercorak 'akademik' seperti perkataan, nombor, kebolehan saintifik, matematik, bahasa, analisisi dan penggunaan tangan kanan.

Otak kanan pula melibatkan aktiviti bersangkutan irama, imaginasi, warna, khayalan, ilham, corak, dimensi dan penggunaan tangan kiri.

Persoalan yang timbul adakah kita menggunakan kedua-dua bahagian otak dengan bijaksana. Umpamanya adakah kita selalu menggunakan otak kanan kita untuk menghayalkan pelajaran atau atau adakah ia selalu digunakan untuk menghayalkan dan mengimaginasi masalah peribadi, angan-angan kosong, dendam, hasad-dengki,amalan ilmu hitam dan perasaan yang tidak berhubungkait dengan pelajaran.

Jika otak bahagian kanan ini belum lagi digunakan sepenuhnya untuk mengkhayalkan pelajaran, maka masanya telah tiba kita mengkikis semua khayalan dan imaginasi kosong dan segerakan gunakan setiap saaat yang ada untuk khayalan digunakan untuk membayangkan pelajaran.

Teknik pembayangan perlu penumpuan. Penumpuan yang serius amat perlu. Sebaik-baik suasana ialah yang sunyi sepi seperti semasa berehat, semasa berbaring sebelum tidur malam, semasa duduk berseorangan menenangkan fikiran, semasa menumpang bas atau teksi, semasa di stesen bas dan lain-lain.

Sebagai contoh kita ambil suasan berbaring sebelum tidur. Bilik sudah gelap> Keadaan sunyi sepi. Dalam suasana ini, tenangkan fikiran. Mula bayangkan soalan-soalan, raja, sifir, graf dan apa juga yang telah dipelajari. Bayang ia satu demi satu. Untuk menguatkan tumpuan tulis, lukis apa yang diingat di atas tilam dengan menggunakan telunjuk anda. Amalakan ini setiap malam. soal diri anda, satu ke satu soalan, mata pelajaran ke mata pelajaran sehinggalah tertidur. Ulangi bila terbangun di tengah malam. Amalkan ia dari sehari ke sehari, seminggu ke seminggu, sebulan ke sebulan bermula ddari tingkatan 1 hingga ke tingkatan 6. Bila ruangan khayalan ini dipositifkan dengan fikiran sehat, anda akan rasakan hasil usaha ini. Bagi anda yang belum mengamalkannnya, cuba mula dari sekarang.


Rahsia-rahsia di sebalik pengurusan masa pelajar cemerlang.

1. Masa sebelum tidur - masa berbaring sebelum tidur. Aamalkan teknik belajar secara bayangan. Menulis atau menyelesaikan masalah dengan cara menulis dengan menggunakan jari telunjuk di atas tilam.
2. Masa terbangun di tengah malam( Belajar seperti No.1)
3. Masa bangun tidur. Subuh/pagi.Bayangkan pelajaran semalam.
4. Masa ke tandas waktu pagi (ingatkan perkara yang terlupa)
5. Masa ke tandas waktu malam (sama seperti No.4)
6. Masa bercermin (Lekatkan Nota penting Dekat cermin)
7. Masa sarapan pagi (Baca selembar dua suratkhabar)
8. Masa berjalan ke sekolah (Tanya diri-sifir dan formula)
9. Masa menunggu bas (Ulangkaji kad nota atau bayangkan)
10. Masa di dalam bas atau kereta (ulangkaji harian/cepat)
11. Masa berjalan ke sekolah ( Tanya diri pasal sifir , formula dan lain-lain lagi)
12. Masa sampai awal pagi ke sekolah ( ulangkaji harian/cepat)
13. Masa menunggu cikgu yang terlewat(ulangkaji cepat)
14. Masa rehat (ke perpustakaan baca ringkas buku-buku)
15. Masa sebelum pulang (Lwatkan pulang buat kerja rumah)
16. Masa berjalan pulang ( tanya diri pasal sifir)
17. Masa berada dalam bas ( baca kad nota)
18. Masa rehat selepas makan (baca novel/majalah)
19. Masa rehat selepas maka n malam (Baca rencana akhbar dan lain-lain)
20. Masa menonton tv (melukis rajah-rajah, peta, tulis formula dan lain-lain)

MASA TERPENTIGN DALAM PEMBELAJARAN CEMERLANG

MASA BELAJAR WAKTU SUBUH

Lain-lain masa yang perlu diurus.

1. Masa ditelipon-pendekan perbualan
2. Semasa membantu ayah dan ibu (belajar cara bayangan)
3. Masa menunggu doktor (ulangkaji kad Nota)
4. Masa berjalan dipersekitaran sekolah (tanya/jawab diri anda)
5. Masa mesyuarat (ulangkaji kad nota sebelum mesyuarat)
6. Masa mendengar radio(kurangkan masa)
7. Masa menunggu kawan (ulangkaji kad nota)
8. Masa pelawat ke rumah (jika ramai, belajar di perpustakaan)

Jika anda mengamalkan masa-masa belajar ini dengan betul dan disiplin,pasti anda akan berjaya dengan cemerlang.


Teknik Belajar PV3R

1. Preview (tinjauan awal)
2. Question (soal diri)
3. Read & Underline (Baca,garis dan tanda)
4. Recite & write (lafaz dan tulis nota)
5. Review (tinjauan akhir)
6. Sumarize (ringkaskan)
7. Test your self (uji diri anda)
8. Use (gunakan)
9. Visualize (bayangkan)


7 Cara Cemerlangkan Otak

1. Positive mental attitude & positive physical action.
2. Air-clean air for the brain.
3. Mental Challenges for the brain.
4. Food for the brain.
5. Exercise for the brain.
6. Sleep for the brain.
7. Meditation & power brain./


Amalan peningkatan daya ingatan

1. Faham.
2. Jarakkan/pecahkan masa belajar.
3. Lafazkan isi penting dengan cara yang kuat.
4. Percaya pada diri sendiri.
5. Ulang berkali-kali.
6. Guna kata kunci, kata isyarat. kata rahsia & ungkapan lucu.
7. Ulangkaji semasa berbaring sebelum tidur & semasa bangun tidur.
8. Bayangkan selalu (20 peringkat masa cemerlang).



AMALKAN SEMOGA BERJAYA

Thursday, May 22, 2008

BELIA HARI INI CERMIN NEGARA MASA HADAPAN

Menurut Profesor Dokter Yusof Al-Qardhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor pada masa kini berkata: “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur "بَلْدَةٌُ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُوْرٌ", tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku. Seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauqi pernah bermadah yang bermaksud:

“Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang.”

Sesungguhnya tanggungjawab besar belia pada hari ini ialah untuk menjana pembangunan bangsa, negara dan Agama. Peranan belia hari ini bukan tertumpu kepada membina kerjaya di samping melakukan aktiviti-aktiviti untuk memenuhi masa lapang sahaja tatapi sepatutnya turut menyumbang kearah membangun modal insan supaya menjadi satu bangsa yang dihormati dan disegani dipersada dunia.

Dalam usaha meningkatkan intergriti dan kehormatan Islam serta umatnya, maka kita haruslah bersiap sedia untuk menjadi penggerak utama dalam memacu masyarakat dan memimpin tamadun dunia selaras dengan tuntutan Islam yang menjadikan umat Islam sebagai umat terbaik yang diciptakan oleh Allah SWT.

Peranan dan sumbangan generasi muda Islam membina tamadun Islam memang hebat. Dalam sejarah perkembangan Islam, sejak ia mula bertapak di Mekah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali Karamallah Wajhah, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi para sahabat yang menjadi pelopor kepada kesuatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat. Mereka selaku sahabat Rasulullah SAW sentiasa berjuang dan berjihad dalam menegakkan ajaran Allah di muka bumi ini.

Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia lapan belas tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom. begitu juga dengan kehebatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Istanbul (Konstantinopal) ketika usia beliau 21 tahun.

Peranan golongan muda juga telah disebut di dalam al-Quran di mana kisah Ashabul Kahfi dijadikan contoh sebagai golongan muda yang bersikap berani mempertahankan akidah daripada seorang raja yang zalim. Firman Allah SWT di dalam surah al-Kahfi ayat 13 hingga 14:

Maksudnya: “Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global pada masa ini, golongan belia mengahadapi cabaran yang sangat hebat. golongan ini bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi dengan budaya Hedonisme iaitu suka berfoya-foya dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dengan amalan seks bebas, ketagih rokok, berjudi, meminum arak, dan terdedah kepada bahan-bahan lucah serta banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.

Persoalan besar timbul ialah apakah golongan belia yang mengamalkan gaya hidup tidak sehat, mampu untuk memikul amanah mengurus, mentadbir Agama dan dapat mempertahankan serta menjamin kedaulatan Negara? justeru itu marilah kita terutama ibu bapa dan belia sekalian sama-sama berganding bahu dan bekerjasama untuk membina anak bangsa kita dengan acuan dan cara hidup sehat yang berteraskan ajaran Islam yang suci ini. Ini selaras dengan Firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim ayat 6:

Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.”

Bilangan belia di negara ini dianggarkan berjumlah seramai 12 juta orang yang amat diyakini mempunyai pelbagai kebolehan dan kepakaran yang baik. Oleh yang demikian minbar pada hari ini mengajak para belia Muslim supaya bangkit menjadi penyeru kepada kebaikan iaitu menjadikan gaya hidup sehat yang berteraskan Islam sebagai satu cara hidup. Mereka juga perlu mencegah, menghalang dan menghindarkan diri daripada melakukan kemungkaran yang bertentangan dengan syariat Islam.

Dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai cermin masa hadapan negara, maka mereka perlu meletakkan diri mereka sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia. Sekiranya golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan kearah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang yang akan menaikkan martabat Agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi dan terbaik.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،


(Surah Ali-Imran ayat : 104)

Bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

KESEDARAN MENGATASI JENAYAH ROGOL

Jenayah seks terhadap kanak-kanak dan remaja di negara yang tercinta ini sungguh membimbangkan. Semenjak kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin masyarakat mula sedar betapa di luar sana terdapat manusia yang tidak berperikemanusian demi untuk memuaskan nafsu serakah mereka. Sebelum Nurin Jazlin pun sudah terdapat banyak kes rogol yang melibatkan kanak-kanak dan remaja.

Selepas Nurin Jazlin terdapat lagi beberapa kes rogol dan liwat yang dilaporkan. Terbaru ialah seorang kanak-kanak berumur lima tahun telah dirogol oleh seorang warga Bangladesh. Lelaki warga asing ini duduk menyewa bilik di rumah keluarga mangsa di Pangsapuri Intan Baiduri, Seksyen 15, Petaling Jaya. Kanak-kanak tersebut dipercayai telah dirogol 3 kali sejak bulan Oktober semasa keluarganya tiada di rumah. Lelaki berkenaan telah melarikan diri sehelai sepinggang dan sedang dicari polis selepas menyedari seorang tukang sapu ternampak perbuatannya yang sedang merogol kanak-kanak itu..

Pada 9 November 2007 seorang pemandu lori, Mohamad Tuah Mahmood, 37 telah dituduh di mahkamah di Klang kerana merogol seorang budak perempuan berusia 15 tahun. Kes ini akan disebut semula pada 17 Disember 2007. Manakala itu seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah berumur 37 tahun mengaku bersalah di mahkamah merogol anaknya yang berumur 11 tahun 8 bulan di rumah mereka di Hiliran Ampang off Jalan Ampang. Mahkamah menetapkan 21 November 2007 untuk sebutan fakta kes dan menjatuhkan hukuman.


Seorang peneroka yang berumur 56 tahun pula telah dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun selepas mengaku bersalah di mahkamah di Kuantan merogol anaknya yang berusia 11 tahun 7 bulan. Hukuman bermula dari 30 Oktober 2007 iaitu tarikh dia ditangkap. Perbuatan rogol itu dilakukan di rumah mereka di Chini, Perak pada Februari 2004. Ini menunjukkan jenayah ini dikenakan hukuman berat.

Pada 18 Oktober 2007 seorang kanak-kanak berumur lapan tahun telah dirogol oleh jirannya. Kejadian berlaku pada minggu pertama hari raya di flat Desa Mentari, Jalan PJS5, Petaling Jaya. Dua orang kanak-kanak berumur 8 dan 7 tahun ini telah datang ke rumah jiran tersebut untuk berhari raya. Mereka berdua telah dibenarkan masuk dan tuan rumah telah merogol kanak-kanak yang berumur 8 tahun. Ahli keluarga kanak-kanak tersebut telah membuat laporan polis dan sehingga kini polis masih lagi mencari seorang lelaki berusia 20an yang melarikan diri dari rumah sewanya. Hingga kini lelaki tersebut masih dicari.

Pada 21 Oktober 2007 pula seorang kanak-kanak berusia 12 tahun telah dirogol oleh bapanya sendiri ketika sedang tidur di rumah mereka di Subang Perdana, Petaling Jaya. Difahamkan mangsa anak sulung daripada lima beradik telah dirogol sebanyak dua kali sebelum ini. Sehingga hari ini Mohd Ali Mohd Shariff yang berumur dalam lingkungan 40an bekerja sebagai kelindan lori sedang
dicari polis setelah isterinya membuat laporan.

Di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Oktober 2007, seorang pegawai kebajikan sebuah asrama Perkim telah ditambah hukuman ke atasnya kepada 24 tahun dan 7 sebatan selepas mahkamah menerima rayuan pihak pendakwaraya. Hukuman asalnya ialah 12 tahun penjara dan 4 sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkaah Sesyen Petaling Jaya. Dia telah dituduh meliwat beberapa orang pelajar lelaki berusia 12 tahun yang tinggal di asrama Perkim di Damansara Utama.

Seorang pemandu lori, Normi Osman, 55 telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun oleh mahkamah di Ipoh atas kesalahan merogol seorang kanak-kanak berumur 12 tahun. Hukuman yang dijatuhkan pada 3 Oktober 2007 ini akan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 26 Ogos 1997. Normi telah mengaku bersalah semasa dihadapkan di mahkamah pada 11 September 2007 selepas Lembaga Pelawat Hospital Bahagia Ulu Kinta memutuskan dia sihat untuk dibicarakan. Dia yang pernah dirawat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan selama 10 tahun telah pertama kali didakwa pada 8 September 1997 selepas merogol mangsa pada tarikh 24 haribulan Ogos 2007.

Pada 21 September 2007 pula seorang penyelia kilang dihukum penjara 19 tahun dan 5 kali sebatan oleh mahkamah di Shah Alam setelah didapati bersalah merogol dan menculik seorang budak berusia 12 tahun 10 bulan. Mohd Noor Annuar Othman, 28 tahun dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 5 sebatan untuk kesalahan merogol yang dilakukan pada April 2004 dan 4 tahun penjara untuk kesalahan menculik. Hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu
rayuan di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu pada 14 September 2007, seorang penyelia kebersihan sebuah sekolah telah mengaku tidak bersalah di atas tuduhan meliwat seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun di Kilometer 27, Jalan Kuang Gombak. Shamsul Anuar Mohamed. 30, dari Bandar Tun Razak, Cheras yang didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan akan mula dibicara pada 10 Mac 2008.


Apa yang dipaparkan di atas adalah kes rogol dan liwat terhadap kanak-kanak yang dilaporkan di akhbar sepanjang bulan September hingga November 2007 sahaja. Jika ada kes yang tidak disebut di atas mungkin saya terlepas pandang. Manakala jika diimbas dari awal tahun mungkin ada banyak lagi kes.

Setiap ahli masyarakat perlulah sama-sama membantu untuk mengelakkan daripada berlakunya lagi kejadian seumpama ini dengan lebih prihatin terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Ibubapa juga perlu lebih waspada dengan keselamatan anak-anak supaya mereka tidak terdedah kepada kemungkinan menjadi mangsa. Kanak-kanak juga mesti diterangkan tentang batas-batas sentuhan terhadap tubuh mereka termasuk ahli keluarga dan apa yang patut dilakukan jika ada orang cuba melangkaui batasan itu. Jangan bersikap tidak apa dan menganggap ianya tidak akan berlaku kepada keluarga kita.

MEMARTABATKAN BIDANG PENDIDIKAN YANG BERTERASKAN KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN PERFILEMAN DIKALANGAN PELAJAR MELAYU

Kebudayaan dan kesenian bangsa Melayu merupakan salah satu elemen yang penting didalam memperkasakan budaya bangsa Melayu. Ini bersesuaian dengan salah satu objektif penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) iaitu untuk menjaga dan memartabatkan kesucian Agama Islam , kebudayaan dan kesenian Melayu.

Elemen – elemen kebudayaan dan keagamaan adalah bertujuan untuk mendedahkan serta menambahkan norma-norma murni dalam membentuk jati diri bangsa Melayu yang tulen. Ini akan meluaskan pengetahuan pelajar mengenai kewujudan khazanah warisan kesenian dan budaya Melayu. Pada masa yang sama ia merupakan isu perbincangan yang paling ideal dan menggalakkan kesepaduan dan kerjasama diantara satu sama lain. Para pelajar dapat bertukar-tukar pendapat dan akhirnya akan dapat membuat kesimpulan mengenai warisan seni dan sejarah Melayu yang masih kekal di negara ini.

Memartabatkan khazanah warisan bangsa untuk ditatap dan dihayati bukan suatu perkara yang mudah khususnya untuk generasi muda hari ini. Ternyata usaha gemblengan tenaga dan daripada pelbagai pihak termasuk GPMS supaya generasi kini dan terdahulu tidak lupa kepada warisan Melayu yang utuh pada identiti bangsa Melayu.

Selain daripada itu, kini kebudayan dan kesenian merupakan salah satu bidang pendidikan yang harus diberi perhatian memandangkan ianya mampu meningkatkan mutu pendidikan anak-anak Melayu. Sebagai contoh, Universiti Teknologi Mara telah memperkenalkan jurusan-jurusan yang berkenaan kesenian dan perfileman melalui Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik yang kini berada di Kampus Satelit UiTM Puncak Perdana. Ini sedikit sebanyak akan mengubah pemikiran lapuk dan negatif masyarakat Melayu terhadap bidang-bidang ini.

Untuk pengetahuan semua perwakilan dan pemerhati, bidang – bidang pendidikan yang berteraskan kepada elemen kebudayaan , kesenian dan perfileman adalah mampu untuk memperkasakan bidang pendidikan dikalangan Pelajar-pelajar Melayu. Ini kerana bidang ini merupakan salah satu bidang profesional yang jarang di ambil berat oleh pihak-pihak lain. Melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, bidang-bidang ini telah dipertingkatkan dari segi nilai profesional supaya ianya akan diberi perhatian oleh seluruh Masyarakat di Malaysia terutama bangsa Melayu.

Demi untuk meningkatkan pendidikan pelajar Melayu selepas Sijil Pelajaran Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung haruslah memainkan peranan penting untuk memperkenalkan program-program diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang berkaitan dengan Kebudayaan, Kesenian dan perfileman kepada para pelajar. Ini kerana seringkali dilihat, bahawa kita terlalu mementingkan bidang teknologi Sains dan Kejuruteraan kepada para pelajar melayu. Harus difahami bahawa tidak semua para pelajar Melayu mampu untuk meneruskan pengajian di dalam bidang-bidang seperti perniagaan, perubatan, kejuruteraan dan lain-lain.

Justeru itu, GPMS Cawangan Bukit Mertajam amat berharap kepada pihak kerajaan untuk berfikir secara matang betapa pentingnya bidang-bidang pendidikan yang berteraskan kepada bidang kebudayaan, kesenian dan Perfileman mampu mencorakkan minda para pelajar Melayu dalam memperkukuhkan moraliti identiti bangsa Melayu dan seterusnya meningkatkan ekonomi industri perfileman dan kebudayaan di Malaysia.

KEPENTINGAN MUZIUM

Muzium merupakan salah satu daya tarikan yang mempunyai keunikannya tersendiri. Bangsa, agama, budaya, maruah, semangat dan sebagainya adalah intipati pengisian setiap muzium. Namun peranan muzium ini sering dipandang sepi. Muzium menjadi pilihan yang terakhir bagi senarai lawatan ketika cuti sekolah atau cuti umum.

Untuk pengetahuan semua, memartabatkan khazanah warisan bangsa seperti kepentingan muzium untuk ditatap dan dihayati bukan suatu perkara yang mudah khususnya untuk generasi muda hari ini. Ternyata usaha gemblengan tenaga dan daripada pelbagai pihak termasuk GPMS supaya generasi kini dan terdahulu tidak lupa kepada warisan Melayu yang utuh pada identiti bangsa Melayu sering dilaksanakan dengan penuh kesungguhan.

Untuk memeriahkan khazanah warisan muzium , GPMS Cawangan Bukit Mertajam telah mengambil inisiatif untuk merancang mengadakan program “Apresiasi Kembara Seni Warisan Muzium “ . Program ini akan menampung segala macam aktiviti kesenian dan kebudayaan dari masa ke semasa untuk dijadikan Penerbitan kepada Majalah Kembara Seni Warisan Muzium dalam bentuk visual untuk dihidangkan kepada khalayak untuk ditatap agar hasil usaha ini mampu menjadi medan interaksi untuk bertukar-tukar fikiran , pengalaman dan pengetahuan dalam membina satu angkatan kesenian , sejarah dan warisan kebudayaan Melayu yang padu dalam proses pengembangan seni tradisi dan budaya. Ianya juga sesuai untuk dijadikan bahan pengajaran dan pengetahuan kepada para pelajar di sekolah dan golongan siswa siswi di institusi pengajian tinggi

Justeru, penerbitan Majalah Kembara Seni Warisan Muzium diharap dapat memberi maklumat dan pengetahuan kepada khalayak mengenai kewujudan dan pengisian muzium-muzium di Malaysia. Apa yang pasti, setiap muzim mempunyai identiti atau rahsianya yang tersendiri.

PERPADUAN BANGSA MELAYU

Diera zaman yang serba moden ini, banyak cabaran yang perlu hadapi oleh bangsa Melayu. Bangsa Melayu harus menoleh kebelakang untuk melihat perubahan yang pesat sekali dalam semua aspek kehidupan manusia dari zaman awal ketamadunan manusia hingga ke hari ini. Bangsa Melayu juga tidak ketinggalan , turut berubah daripada budaya lama kepada budaya baru. Bangsa Melayu yang pernah terjajah lebih daripada 400 tahun dari zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah kemerdekaan dicapai pada tahun 1957.

Bangsa Melayu yang dulunya pernah dijajah oleh bangsa Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan Siam , hari ini telah muncul sebagai satu bangsa yang maju dan hampir setanding dengan bangsa yang pernah menjajah mereka. Bahkan, kini Bangsa Melayu di Malaysia telah muncul sebagai satu bangsa yang amat disegani terutama di kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia.

Kejayaan bangsa Melayu hari ini adalah hasil perjuangan bangsanya sebelum ini. Kejayaan ini tidak akan akan berkekalan sekiranya generasi baru pada zaman serba moden ini tidak didedahkan kepada sejarah dan semangat patriotisme dalam mempertahankan kemerdekaan yang dicapai. Sejarah perjuangan bangsa Melayu hari ini adalah amat perlu untuk diketahui dan disampaikan kepada generasi anak-anak Melayu hari ini kerana ianya akan menjadi satu panduan dan kayu pengukur untuk menilai pencapaian anak Bangsa Melayu pada hari ini.




Dengan mengetahui dan meneliti perkembangan sejarah silam Bangsa Melayu, generasi bangsa Melayu pada hari ini dan generasi pada masa hadapan akan dapat mengesan apakah nilai-nilai murni yang diutamakan oleh generasi sebelumnya dalam menjayakan cita-cita dan hasrat perjuangan bangsa Melayu yang dinikmati oleh umat Melayu pada hari ini.

Walaubagaimanapun , hari ini boleh dikatakan hampir wujud satu sikap iaitu alpa di dalam masyarakat bangsa Melayu terhadap sejarah perjuangan bangsa Melayu pada zaman sebelum kemerdekaan. Sikap kealpaan ini boleh mengundang masalah besar kepada pucuk pimpinan negara. Bangsa Melayu akan semakin kehilangan punca apabila negara atau bangsa Melayu menghadapi masalah-masalah berkaitan sosio-politik yang memerlukan bangsa Melayu membuat keputusan. Biasanya orang Melayu akan membuat keputusan berdasarkan isu-isu semasa yang dilihat menjadi sokongan massa.

Oleh itu, boleh dikatakan generasi yang akan datang datang dapat meneruskan perjuangan bangsanya dalam mempertahankan kejayaan yang telah dicapai bagi memastikan kelangsungan perjuangan bangsanya yang terdahulu dengan lebih cemerlang selari dengan perkembangan dan tuntutan semasa bangsanya. Generasi muda khususnya yang terdiri daripada bangsa Melayu haruslah menoleh ke belakang untuk melihat sejauh manakah perjuangan pemimpin negara pada masa yang lalu dalam usaha cuba memajukan negara. Hal ini harus menjadi panduan dan ikhtibar kepada semua anak bangsa Melayu supaya berusaha secara gigih untuk memajukan diri, masyarakat seterusnya negara Malaysia.