Thursday, May 22, 2008

MEMARTABATKAN BIDANG PENDIDIKAN YANG BERTERASKAN KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN PERFILEMAN DIKALANGAN PELAJAR MELAYU

Kebudayaan dan kesenian bangsa Melayu merupakan salah satu elemen yang penting didalam memperkasakan budaya bangsa Melayu. Ini bersesuaian dengan salah satu objektif penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) iaitu untuk menjaga dan memartabatkan kesucian Agama Islam , kebudayaan dan kesenian Melayu.

Elemen – elemen kebudayaan dan keagamaan adalah bertujuan untuk mendedahkan serta menambahkan norma-norma murni dalam membentuk jati diri bangsa Melayu yang tulen. Ini akan meluaskan pengetahuan pelajar mengenai kewujudan khazanah warisan kesenian dan budaya Melayu. Pada masa yang sama ia merupakan isu perbincangan yang paling ideal dan menggalakkan kesepaduan dan kerjasama diantara satu sama lain. Para pelajar dapat bertukar-tukar pendapat dan akhirnya akan dapat membuat kesimpulan mengenai warisan seni dan sejarah Melayu yang masih kekal di negara ini.

Memartabatkan khazanah warisan bangsa untuk ditatap dan dihayati bukan suatu perkara yang mudah khususnya untuk generasi muda hari ini. Ternyata usaha gemblengan tenaga dan daripada pelbagai pihak termasuk GPMS supaya generasi kini dan terdahulu tidak lupa kepada warisan Melayu yang utuh pada identiti bangsa Melayu.

Selain daripada itu, kini kebudayan dan kesenian merupakan salah satu bidang pendidikan yang harus diberi perhatian memandangkan ianya mampu meningkatkan mutu pendidikan anak-anak Melayu. Sebagai contoh, Universiti Teknologi Mara telah memperkenalkan jurusan-jurusan yang berkenaan kesenian dan perfileman melalui Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik yang kini berada di Kampus Satelit UiTM Puncak Perdana. Ini sedikit sebanyak akan mengubah pemikiran lapuk dan negatif masyarakat Melayu terhadap bidang-bidang ini.

Untuk pengetahuan semua perwakilan dan pemerhati, bidang – bidang pendidikan yang berteraskan kepada elemen kebudayaan , kesenian dan perfileman adalah mampu untuk memperkasakan bidang pendidikan dikalangan Pelajar-pelajar Melayu. Ini kerana bidang ini merupakan salah satu bidang profesional yang jarang di ambil berat oleh pihak-pihak lain. Melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, bidang-bidang ini telah dipertingkatkan dari segi nilai profesional supaya ianya akan diberi perhatian oleh seluruh Masyarakat di Malaysia terutama bangsa Melayu.

Demi untuk meningkatkan pendidikan pelajar Melayu selepas Sijil Pelajaran Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung haruslah memainkan peranan penting untuk memperkenalkan program-program diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang berkaitan dengan Kebudayaan, Kesenian dan perfileman kepada para pelajar. Ini kerana seringkali dilihat, bahawa kita terlalu mementingkan bidang teknologi Sains dan Kejuruteraan kepada para pelajar melayu. Harus difahami bahawa tidak semua para pelajar Melayu mampu untuk meneruskan pengajian di dalam bidang-bidang seperti perniagaan, perubatan, kejuruteraan dan lain-lain.

Justeru itu, GPMS Cawangan Bukit Mertajam amat berharap kepada pihak kerajaan untuk berfikir secara matang betapa pentingnya bidang-bidang pendidikan yang berteraskan kepada bidang kebudayaan, kesenian dan Perfileman mampu mencorakkan minda para pelajar Melayu dalam memperkukuhkan moraliti identiti bangsa Melayu dan seterusnya meningkatkan ekonomi industri perfileman dan kebudayaan di Malaysia.

No comments: