Thursday, May 22, 2008

KESEDARAN MENGATASI JENAYAH ROGOL

Jenayah seks terhadap kanak-kanak dan remaja di negara yang tercinta ini sungguh membimbangkan. Semenjak kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin masyarakat mula sedar betapa di luar sana terdapat manusia yang tidak berperikemanusian demi untuk memuaskan nafsu serakah mereka. Sebelum Nurin Jazlin pun sudah terdapat banyak kes rogol yang melibatkan kanak-kanak dan remaja.

Selepas Nurin Jazlin terdapat lagi beberapa kes rogol dan liwat yang dilaporkan. Terbaru ialah seorang kanak-kanak berumur lima tahun telah dirogol oleh seorang warga Bangladesh. Lelaki warga asing ini duduk menyewa bilik di rumah keluarga mangsa di Pangsapuri Intan Baiduri, Seksyen 15, Petaling Jaya. Kanak-kanak tersebut dipercayai telah dirogol 3 kali sejak bulan Oktober semasa keluarganya tiada di rumah. Lelaki berkenaan telah melarikan diri sehelai sepinggang dan sedang dicari polis selepas menyedari seorang tukang sapu ternampak perbuatannya yang sedang merogol kanak-kanak itu..

Pada 9 November 2007 seorang pemandu lori, Mohamad Tuah Mahmood, 37 telah dituduh di mahkamah di Klang kerana merogol seorang budak perempuan berusia 15 tahun. Kes ini akan disebut semula pada 17 Disember 2007. Manakala itu seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah berumur 37 tahun mengaku bersalah di mahkamah merogol anaknya yang berumur 11 tahun 8 bulan di rumah mereka di Hiliran Ampang off Jalan Ampang. Mahkamah menetapkan 21 November 2007 untuk sebutan fakta kes dan menjatuhkan hukuman.


Seorang peneroka yang berumur 56 tahun pula telah dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun selepas mengaku bersalah di mahkamah di Kuantan merogol anaknya yang berusia 11 tahun 7 bulan. Hukuman bermula dari 30 Oktober 2007 iaitu tarikh dia ditangkap. Perbuatan rogol itu dilakukan di rumah mereka di Chini, Perak pada Februari 2004. Ini menunjukkan jenayah ini dikenakan hukuman berat.

Pada 18 Oktober 2007 seorang kanak-kanak berumur lapan tahun telah dirogol oleh jirannya. Kejadian berlaku pada minggu pertama hari raya di flat Desa Mentari, Jalan PJS5, Petaling Jaya. Dua orang kanak-kanak berumur 8 dan 7 tahun ini telah datang ke rumah jiran tersebut untuk berhari raya. Mereka berdua telah dibenarkan masuk dan tuan rumah telah merogol kanak-kanak yang berumur 8 tahun. Ahli keluarga kanak-kanak tersebut telah membuat laporan polis dan sehingga kini polis masih lagi mencari seorang lelaki berusia 20an yang melarikan diri dari rumah sewanya. Hingga kini lelaki tersebut masih dicari.

Pada 21 Oktober 2007 pula seorang kanak-kanak berusia 12 tahun telah dirogol oleh bapanya sendiri ketika sedang tidur di rumah mereka di Subang Perdana, Petaling Jaya. Difahamkan mangsa anak sulung daripada lima beradik telah dirogol sebanyak dua kali sebelum ini. Sehingga hari ini Mohd Ali Mohd Shariff yang berumur dalam lingkungan 40an bekerja sebagai kelindan lori sedang
dicari polis setelah isterinya membuat laporan.

Di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Oktober 2007, seorang pegawai kebajikan sebuah asrama Perkim telah ditambah hukuman ke atasnya kepada 24 tahun dan 7 sebatan selepas mahkamah menerima rayuan pihak pendakwaraya. Hukuman asalnya ialah 12 tahun penjara dan 4 sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkaah Sesyen Petaling Jaya. Dia telah dituduh meliwat beberapa orang pelajar lelaki berusia 12 tahun yang tinggal di asrama Perkim di Damansara Utama.

Seorang pemandu lori, Normi Osman, 55 telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun oleh mahkamah di Ipoh atas kesalahan merogol seorang kanak-kanak berumur 12 tahun. Hukuman yang dijatuhkan pada 3 Oktober 2007 ini akan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 26 Ogos 1997. Normi telah mengaku bersalah semasa dihadapkan di mahkamah pada 11 September 2007 selepas Lembaga Pelawat Hospital Bahagia Ulu Kinta memutuskan dia sihat untuk dibicarakan. Dia yang pernah dirawat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan selama 10 tahun telah pertama kali didakwa pada 8 September 1997 selepas merogol mangsa pada tarikh 24 haribulan Ogos 2007.

Pada 21 September 2007 pula seorang penyelia kilang dihukum penjara 19 tahun dan 5 kali sebatan oleh mahkamah di Shah Alam setelah didapati bersalah merogol dan menculik seorang budak berusia 12 tahun 10 bulan. Mohd Noor Annuar Othman, 28 tahun dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 5 sebatan untuk kesalahan merogol yang dilakukan pada April 2004 dan 4 tahun penjara untuk kesalahan menculik. Hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu
rayuan di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu pada 14 September 2007, seorang penyelia kebersihan sebuah sekolah telah mengaku tidak bersalah di atas tuduhan meliwat seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun di Kilometer 27, Jalan Kuang Gombak. Shamsul Anuar Mohamed. 30, dari Bandar Tun Razak, Cheras yang didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan akan mula dibicara pada 10 Mac 2008.


Apa yang dipaparkan di atas adalah kes rogol dan liwat terhadap kanak-kanak yang dilaporkan di akhbar sepanjang bulan September hingga November 2007 sahaja. Jika ada kes yang tidak disebut di atas mungkin saya terlepas pandang. Manakala jika diimbas dari awal tahun mungkin ada banyak lagi kes.

Setiap ahli masyarakat perlulah sama-sama membantu untuk mengelakkan daripada berlakunya lagi kejadian seumpama ini dengan lebih prihatin terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Ibubapa juga perlu lebih waspada dengan keselamatan anak-anak supaya mereka tidak terdedah kepada kemungkinan menjadi mangsa. Kanak-kanak juga mesti diterangkan tentang batas-batas sentuhan terhadap tubuh mereka termasuk ahli keluarga dan apa yang patut dilakukan jika ada orang cuba melangkaui batasan itu. Jangan bersikap tidak apa dan menganggap ianya tidak akan berlaku kepada keluarga kita.

No comments: